ANGGOTA PPM melakukan pemeriksaan terhadap minuman keras yang ditemui dalam serbuan semalam. FOTO ihsan PPM
ANGGOTA PPM melakukan pemeriksaan terhadap minuman keras yang ditemui dalam serbuan semalam. FOTO ihsan PPM
Fardy Bungga


PASUKAN Polis Marin (PPM) mematahkan satu sindiket penyeludupan minuman keras tanpa cukai dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Kudat-Sikuati, Kudat, semalam.

Serbuan 7.30 malam itu dijalankan berdasarkan maklumat risikan pegawai dan anggota Unit Risikan Marin (URM) dalam Op Landai Khas mencegah penyeludupan minuman keras.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, hasil serbuan pihaknya berjaya merampas beberapa jenis minuman keras pelbagai jenama.

Katanya, semua minuman keras itu disembunyikan dalam rumah berkenaan tanpa penjaga selepas pemantauan selama dua hari dijalankan anggota PPM.

“Hasil serbuan, polis berjaya menemui 8,160 tin dan 2,460 pelbagai jenis botol minuman keras dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM243,915 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Tiada tangkapan dilakukan walaupun pemantauan pasukan serbuan selama 48 jam di rumah berkenaan. Tiada sebarang individu yang memasuki atau berada di kawasan rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya rampasan kali ini berjaya mematahkan kegiatan penyeludupan dan pengedaran minuman keras tidak bercukai di daerah Kudat.

Katanya, semua rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, iaitu memiliki dan menyimpan barangan tidak bercukai.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda maksimum 20 kali ganda nilai barangan atau maksimum penjara tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat terutama aktiviti penyeludupan bagi membanteras kegiatan yang hanya merugikan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 10:54 AM