DR Hendrik  menunjukkan keratan akhbar berita mengenai Nurul Najwa.
DR Hendrik menunjukkan keratan akhbar berita mengenai Nurul Najwa.
Noorazura Abdul Rahman


UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) akan membantu penuntutnya, Nurul Najwa Mohd Johari, 22, meneruskan pengajian termasuk membantu menguruskan kebajikan bapanya yang menghadapi penyakit angin ahmar.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA) UUM Prof Madya Dr Hendrik Lamsali berkata, universiti berkenaan memandang serius masalah yang dihadapi oleh Nurul Najwa yang terpaksa menjaga bapanya, Mohd Johari Said, 55, kerana tidak ada tempat bergantung.

“Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) sudah mengambil maklum situasi yang dialami penuntut kami dan tindakan lanjut sedang dilakukan antaranya akan cuba membantu dia meneruskan pengajian dengan memberikan bantuan zakat serta melalui tabung kebajikan yang dikendalikan oleh Unit Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSU) diketuai Dr Rajwani Md Zain selaku pengarahnya.

“Dalam masa yang sama, pasukan sukarelawan UUM terdiri dalam kalangan penuntut kampus juga akan membantu menjaga ayah anak tunggal itu yang akan pulang ke UUM untuk menghadapi peperiksaan pada minggu depan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Dr Hendrik berkata, pihaknya serta beberapa pegawai UUM yang lain turut akan menziarah bapa Nurul Najwa di rumah mereka di Kampung Haji Wan Omar, Semerak di Pasir Putih, Kelantan pada Ahad nanti.

Menurutnya, dengan sokongan daripada Naib Canselor UUM Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani, pihaknya akan berusaha mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan.

“Kami akan lihat bagaimana JKM dapat membantu untuk menjaga kebajikan ayah penuntut itu sama ada ditempatkan di rumah jagaan JKM atau ada waris lain yang boleh menjaganya sehingga Nurul Najwa tamat pengajian yang masih berbaki dua tahun,” katanya.

Kelmarin akhbar melaporkan penuntut tahun dua Ijazah Sarjana Muda Pemasaran Pusat Pengajian Perniagaan membayangkan hasratnya untuk berhenti dari pengajian kerana terpaksa menjaga bapanya yang semakin uzur akibat penyakit berkenaan.

Kesihatan bapanya semakin merosot sejak tahun lalu termasuk mengalami masalah nyanyuk dan memerlukan perhatian seperti kanak-kanak.

Sebelum ini, saudara-mara Nurul Najwa pernah menjaga bapanya dan sebulan lalu ditempatkan di Rumah Seri Kenangan Pengkalan Chepa lebih sebulan, bagaimanapun memandangkan usianya tidak cukup 60 tahun maka terpaksa dikeluarkan dari situ.

Ibu Nurul Najwa sudah meninggal dunia sejak 2015 akibat penyakit talasemia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 6:15 AM