BEBERAPA kawasan yang terjejas akibat banjir.
BEBERAPA kawasan yang terjejas akibat banjir.
Hidayatul Akmal Ahmad


SERAMAI 22 penduduk Tanah Merah Batu 20, Kampung Merbau Indah, Sungai Buloh, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), selepas kawasan itu dinaiki air.

Ia selepas hujan lebat sejak petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa dipindahkan ke PPS di Dewan MDKS Desa Coalfield, Sungai Buloh.

“Mangsa membabitkan 11 orang dewasa dan 11 orang kanak-kanak. Keadaan paras air dilaporkan semakin surut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, seramai enam anggota bomba dan empat pegawai kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang dan BBP Sungai Buloh dihantar ke tempat kejadian bagi memantau kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di Semenyih, Selangor turut mengakibatkan banjir kilat dan pokok tumbang.

Hujan lebat sejak jam 2 petang itu turut menyebabkan jalan di hadapan Klinik Kesihatan Kajang terjejas.

Selain itu, Sekolah Rendah Agama Kampung Sesapan Batu Minangkabau dan Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang turut terjejas akibat banjir.

Jalan Puteri 3 berhampiran lorong masuk ke Desa Puteri, Bandar Tasik Puteri Rawang juga terpaksa ditutup akibat jalan rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 9:55 PM