Siraj Mohd Zaini


DASAR baharu sedang dirangka kerajaan bagi mewujudkan silibus pengkomputeran dan teknologi digital di peringkat sekolah, kolej kemahiran serta vokasional.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, generasi muda di negara ini perlu diberi pendedahan sejak diperingkat awal mengenai perkembangan revolusi digital, sekaligus mempersiapkan mereka menghadapi cabaran dunia masa depan.

Menurutnya, beberapa kementerian kini turut bekerjasama bagi merealisasikan dasar berkenaan sebelum ia dilaksanakan kelak.

“Bagi tujuan ini, kita bekerjasama dengan Dr Maszlee (Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik) untuk melihat daripada aspek pendidikan dan Kulasegaran (Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran) pula beri pandangan dalam konteks pekerjaan.

“Kita juga mendapatkan pandangan Syed Saddiq (Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman) bagi tujuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Dr V David di Kolej Institut Teknologi Pekerja (WIT) di Klang, hari ini.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, dasar berkenaan akan dilaksanakan secepat mungkin sebaik saja semua pihak berkaitan bersetuju mengenai pelaksanaannya.

“Apa pun kita kena bentangkan kepada kabinet terlebih dahulu. Namun kita tidak boleh tetapkan tempoh masa bila pelaksanaannya.

“Sebab kita memerlukan pandangan semua pihak, jadi kita tidak boleh tetapkan tempoh masa,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan perlu menyediakan infrastruktur capaian internet yang lebih baik kepada semua lapisan rakyat bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dengan perkembangan revolusi digital.

“Kerajaan kena pastikan semua rakyat dapat akses kepada internet. Internet dan teknologi ialah infrastruktur yang penting,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 6:57 PM
GOBIND menandatangani plak pada Majlis Perasmian dewan Dr V David dan lawatan ke  Kolej WIT. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej WIT, Tan Sri  Zainal Rampak. FOTO Roslin Mat Tahir
GOBIND menandatangani plak pada Majlis Perasmian dewan Dr V David dan lawatan ke Kolej WIT. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej WIT, Tan Sri Zainal Rampak. FOTO Roslin Mat Tahir