Farah Suhaidah Othman


PENUNGGANG motosikal maut selepas motosikal ditunggangi dirempuh lori yang mengundur di Kilometer 263.1 Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Terowong Menora, Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, Mohd Najib Ismail, 21, yang menunggang motosikal jenis Yamaha meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di dada dan perut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan dalam perjalanan dari Sungai Buloh menghala ke Grik memberhentikan kenderaan di Vista Point berdekatan Terowong Menora.

“Lori dipandu lelaki berusia 48 tahun secara tiba-tiba mengundur dari laluan Vista Point hingga ke tengah jalan sebelum merempuh motosikal mangsa.

“Kenderaan ini mengundur secara sendiri dan tiada pemandu di dalam kenderaan berat berkenaan ketika kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Ali berkata, siasatan lanjut mendapati pemandu lori terbabit mendakwa brek lori gagal berfungsi menyebabkan kenderaan berat itu mengundur.

Berikutan kejadian itu, penunggang motosikal dirempuh disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat dan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya,” katanya.

Menurut Mohd Ali, pemandu lori terbabit ditahan dan akan dibawa ke HRPB Ipoh untuk ujian analisis darah dan air kencing.

Kenderaan berat itu turut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam pada itu, video berdurasi satu minit dirakam menerusi kamera hadapan kenderaan menunjukkan sebuah lori mengundur secara tiba-tiba menjadi viral di media sosial selepas kemalangan itu.

Mohd Ali berkata, pihaknya mengesahkan menerima maklumat berhubung video itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 9:49 PM
FOTO viral berkaitan kemalangan yang tersebar di media sosial. (Gambar kecil) Motosikal milik mangsa. FOTO IHSAN PEMBACA
FOTO viral berkaitan kemalangan yang tersebar di media sosial. (Gambar kecil) Motosikal milik mangsa. FOTO IHSAN PEMBACA