ANTARA video rakaman kes jenayah yang tular di media sosial.
ANTARA video rakaman kes jenayah yang tular di media sosial.
Hadzlihady Hassan


SEBANYAK 29 daripada 35 kes rakaman video kejadian jenayah yang tular di media sosial bermula Januari hingga hujung Mei tahun ini berjaya diselesaikan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya sudah membuka 29 kertas siasatan berhubung rakaman video kes jenayah yang tular itu manakala enam lagi masih dalam siasatan.

“Sejumlah 87 individu ditahan dan dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan manakala bakinya masih dalam siasatan, ditahan reman atau menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya.

“Kejayaan menyelesaikan sebanyak 83 peratus kes ini adalah hasil daripada kerjasama orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat hingga memberi petunjuk kepada polis untuk membuat tangkapan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis negeri Datuk T Narenasagaran dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) negeri Asisten Komisioner Rahimi Raais.

Beliau berkata, antara kes yang dibuka kertas siasatan itu membabitkan kesalahan mendatangkan cedera, pemerasan, merusuh, khianat, curi kenderaan, samun, cuba bunuh, bunuh, ugutan jenayah dan penderaan kanak-kanak.

“Sehubungan itu, kita ingin mengucapkan terima kasih kepada semua masyarakat yang membantu polis sama ada merakam kejadian jenayah berkenaan atau yang menyalurkan maklumat selepas menonton video yang ditularkan sehingga tertangkapnya penjenayah,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai rakaman video berhubung kes jenayah boleh menyalurkan maklumat di Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), Twitter PDRM dan akaun WhatsApp PDRM vial video di talian 019-3019930.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 2:26 PM