BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ustaz Ku Yaacob Ku Hashim, 68, yang meninggal dunia ketika menyampaikan khutbah Jumaat semalam.

Kejadian berlaku di Masjid Al-Bukhary, Alor Setar, Kedah pada kira-kira 1.30 tengah hari.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsudin dalam kenyataan hari ini berkata Seri Paduka mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama para solihin.

"Seri Paduka turut berterima kasih atas jasa dan sumbangan Allahyarham yang selama ini berkhidmat sebagai imam Masjid Al-Bukhary," katanya.

Allahyarham dilaporkan rebah ketika menyampaikan khutbah Jumaat di mimbar masjid sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah.

Bekas guru agama itu dilaporkan sempat membaca beberapa baris ayat al-Quran sebelum kejadian.

Berita berkaitan

Pemergian dalam khusnul khatimah

Rebah ketika membaca khutbah [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 2:58 PM