MAT Harun meninggal dunia selepas dilanggar motosikal ketika melintas jalan di Jalan Bukit Nangka, Tepoh, Kuala Nerus, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
MAT Harun meninggal dunia selepas dilanggar motosikal ketika melintas jalan di Jalan Bukit Nangka, Tepoh, Kuala Nerus, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Zatul Iffah Zolkiply


SEORANG pengawal keselamatan maut selepas dirempuh motosikal ketika melintas jalan dalam kejadian di Jalan Bukit Nangka, Tepoh, Kuala Nerus, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.10 tengah hari itu, mangsa, Mat Harun Sudin, 68, yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, sebelum kejadian, warga emas itu meletakkan motosikal Honda Wave miliknya di bahu jalan sebelum melintas ke kedai runcit berhampiran.

Bagaimanapun, mangsa dirempuh motosikal Yamaha Nouvo LC ditunggang dua remaja perempuan berusia 16 tahun yang datang dari arah Padang Air ke Bukit Guntung.

Anak mangsa, Mat Fikri Mat Harun, 21, berkata, bapanya keluar dari rumah mereka di Kampung Banggol Nyior, untuk ke kedai runcit yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.

Katanya, kejadian menimpa bapa hanya diketahui mereka sekeluarga selepas didatangi jiran yang memaklumkan kemalangan itu.

“Tengah hari tadi ayah beritahu mahu ke kedai untuk membeli barang, tak sangka ayah terbabit kemalangan dan pergi ketika umat Islam sedang gembira menyambut Aidilfitri.

“Memang terkejut sebab kejadian ini berlaku tiba-tiba, ayah pun tidak menunjukkan sebarang perubahan. Bagaimanapun, kami reda dengan pemergiannya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2019 @ 9:24 PM