Hafidzul Hilmi Mohd Noor


HIDANGAN juadah seperti dodol, lemang dan ketupat mengubati kerinduan di tanah air buat 850 anggota pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-6 (MALBATT 850-6) yang menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) di Lubnan.

Sambutan Aidilfitri itu turut diceriakan dengan kehadiran Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Kewangan Lim Guang Eng, semalam.

Lawatan kedua-dua Menteri diiringi Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan dan Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Zulkapri Rahamat.

Mohamad turut merakamkan penghargaan atas pengorbanan besar setiap anggota dan mengharapkan mereka sentiasa tabah dan mampu memikul tugas yang diamanahkan walaupun berada di perantauan jauh dari negara dan keluarga tercinta.

Majlis berkenaan dimeriahkan dengan juadah tempatan seperti dodol, lemang dan ketupat.

Juadah terbabit disediakan Kor Perkhidmatan Diraja yang diketuai Mejar Ridzuan Norma dalam menyediakan hidangan berkenaan.

ANGGOTA Malbatt 850-6  melakukan solat sunat Aidilfitri. FOTO Ihsan MALBATT
ANGGOTA Malbatt 850-6 melakukan solat sunat Aidilfitri. FOTO Ihsan MALBATT

Jelas terpancar wajah kegembiraan pada setiap anggota pasukan itu dan ia sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduan mereka yang tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman masing-masing.

Majlis terbabit turut diserikan dengan tayangan video rakaman ucapan Hari Raya daripada keluarga Menteri Pertahanan dan delegasi yang mengiringi serta ucapan yang disampaikan oleh setiap elemen di dalam MALBATT 850-6.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 1:28 PM
ANGGOTA Malbatt 850-6  menikmati hidangan Aidilfitri di Lubnan semalam. FOTO Ihsan MALBATT
ANGGOTA Malbatt 850-6 menikmati hidangan Aidilfitri di Lubnan semalam. FOTO Ihsan MALBATT