SUASANA di klia2. FOTO Luqman Hakim Zubir
SUASANA di klia2. FOTO Luqman Hakim Zubir
Mohd Husni Mohd Noor


“KAMI sekeluarga tiba awal di sini (klia2) kerana tak (tidak) mahu terlepas penerbangan seperti yang berlaku dua tahun lalu,” kata Mohd Zamharir Abdul Wahab, 39.

Mohd Zamharir yang juga kakitangan Unit Digital Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkata, dia bersama isteri, Murliza Ismail, 36, dan dua anak, Muhammad Adam, 4, dan Muhammad Noah, tujuh bulan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) lima jam lebih awal sedangkan jadual penerbangan ke Miri, Sarawak, kira-kira 9 malam.

“Kami pernah terlepas penerbangan jadi, kami memilih untuk tiba lebih awal bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Musim perayaan berbeza dengan hari biasa kerana penumpang dikehendaki daftar masuk lebih awal bagi mengelak kesesakan,” katanya yang berasal dari Selama, Perak.

Sementara itu, kakitangan Hospital Banting, Nor Shasarina Ahmad Bistaman, 38, berkata, dia bersama anak lelakinya, Muhammad Hasha Haikal Mohd Hasmajie, 12, tiba awal di klia2 bagi merasai suasana balik kampung selain mengelak kesesakan di laluan daftar masuk.

“Biasanya kami pulang ke kampung dengan kereta tetapi kali ini memilih untuk menaiki kapal terbang bagi mengelak kesesakan di jalan raya,” katanya yang akan beraya di Kota Bharu, Kelantan.

Tinjauan Harian Metro di klia2 mendapati, orang ramai mula membanjiri lapangan terbang ini sejak tengah hari untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Malah, rata-rata penumpang yang ditemui memilih untuk tiba lebih awal di klia2 bagi mengelak kesesakan.

Walaupun menerima kehadiran penumpang yang ramai, namun keadaan agak terkawal dengan bantuan dan sokongan daripada polis bantuan, petugas penerbangan dan anggota keselamatan daripada pelbagai agensi.

Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 dijangka menerima pergerakan masing-masing 100,000 penumpang sehari bermula tempoh puncak 26 Mei lalu sehingga 10 Jun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, tempoh puncak itu adalah berikutan cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri, Pesta Gawai dan Kaamatan serta cuti sekolah.

“Syarikat penerbangan tempatan di kedua-dua terminal iaitu Terminal Utama KLIA dan klia2 juga menambah lebih 500 penerbangan dalam tempoh itu untuk memenuhi peningkatan jumlah penumpang domestik dan antarabangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 8:10 PM