Firdaus (kanan, baju merah) dan Muhd Nasir  (tengah) membantu kanak-kanak mencuba pakaian raya sempena Program Sinaran Kasih di Langkawi.
Firdaus (kanan, baju merah) dan Muhd Nasir (tengah) membantu kanak-kanak mencuba pakaian raya sempena Program Sinaran Kasih di Langkawi.
Hamzah Osman


SERAMAI 50 kanak-kanak miskin dari sekitar pulau peranginan ini berpeluang memilih sendiri baju raya di sebuah gedung beli-belah di Langkawi, hari ini.

Setiap penerima menerima baucer RM165 sumbangan Langkawi Port Sdn Bhd (Langkawi Port) bagi membolehkan mereka menyambut Aidilfitri dalam suasana ceria.

Seorang penerima, Hafizuddin Abdullah, 10, dari Sekolah Kebangsaan Seri Negeri bersyukur kerana dapat memiliki sepasang baju Melayu hijau yang diidam-idamkannya.

“Tahun lalu saya pakai baju Melayu kuning. Tahun ini bersyukur sangat sebab hajat nak pakai hijau tercapai,” katanya yang tinggal bersama ibu selepas kematian bapa, dua tahun lalu.

Seorang lagi murid, Siti Nabila Yunus, 11, dari Sekolah Kebangsaan Selat Bagan Nyiur, berkata dia bersyukur kerana masih ada pihak memberi bantuan pakaian lengkap menjelang Aidilfitri.

“Ini satu-satunya baju raya saya tahun ini dan tak sabar nak pakai baju baru ini. Bapa hanya nelayan dengan pendapatan tidak seberapa,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Langkawi Port, Muhd Nasir Abdul Aziz, berkata, kanak-kanak itu dibawa ke pusat beli-belah supaya mereka dapat memilih sendiri baju yang digemari.

“Kanak-kanak akan menerima jika kita belikan dan beri kepada mereka. Bagaimanapun, kita mahu mereka benar-benar gembira dengan memilih sendiri pakaian diminati sama ada moden atau baju Melayu.

“Ini kali ke-17 kami mengadakan program sebegini sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya.

Yang turut hadir membantu kanak-kanak terbabit memilih pakaian raya ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kedah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Firdaus Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 3:29 PM