Farah Suhaidah Othman

LELAKI warga Bangladesh yang maut ketika menjalankan kerja penyelenggaran saluran gas bawah tanah di Kilometer 6 Jalan Ipoh-Lumut, berhampiran Taman Rishah, malam tadi dipercayai lemas akibat kekurangan oksigen.

Kejadian itu turut menyebabkan seorang rakan senegaranya dan seorang lelaki tempatan tidak sedarkan diri.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, lelaki dikenali sebagai Summon, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara itu, lelaki tempatan berusia 27 tahun dan seorang lagi lelaki Bangladesh berusia 30 tahun yang tidak sedarkan diri kini stabil dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri (HRPB).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru, Sharudi Muhamad Halil berkata, pemeriksaan anggota Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Pasir Puteh mendapati saluran gas berkenaan adalah gas nitrogen namun tiada kebocoran yang dikesan.

“Semua mangsa dipercayai mengalami sesak nafas akibat kekurangan oksigen," katanya ketika dihubungi di Ipoh, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, dua mangsa yang cedera berada dalam keadaan stabil dan dipindahkan ke wad biasa di HRPB.

“Hasil siasatan mendapati lokasi kejadian adalah lubang bawah tanah dipercayai saluran pemasangan dan penyelenggaraan paip gas oleh syarikat swasta.

“Siasatan lanjut di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan mangsa yang maut diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Mati terhidu gas beracun
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 2:34 PM