Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Azam Shah Yaacob


PEGAWAI polis berpangkat Asisten Superintendan yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dipercayai menjadi dalang kegiatan samun berkumpulan terhadap seorang pengurup wang di Bangunan Cahaya Suria, Jalan Silang, Kuala Lumpur kelmarin.

Dalam kejadian 4.40 petang itu, suspek yang bertugas di Bukit Aman bersama lima lagi anggota polis, antaranya berpangkat Inspektor dan anggota lain-lain pangkat, selain tiga pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan datang membuat serbuan di syarikat berkenaan.

Sumber polis berkata, ketika itu, kumpulan suspek berkenaan menyatakan tujuan serbuan bahawa terdapat bukti syarikat itu menjalankan kegiatan tukaran mata wang asing tanpa lesen sah.

Katanya, suspek kemudian meminta mangsa untuk membayar RM200,000 sekiranya tidak mahu tindakan diambil dan dibebaskan.

“Kerana khuatir, mangsa kemudian menyerahkan wang yang dipinta selepas mengarahkan pemandunya untuk mengambil wang di rumahnya.

“Suspek kemudian menyerahkan wang berkenaan kepada kumpulan berkenaan selepas berjumpa di hadapan bangunan pusat beli-belah Kota Raya, Kuala Lumpur” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber itu berkata, wang yang diambil kemudian diagihkan dan setiap daripada mereka menerima kira-kira RM18,000 seorang.

Katanya, selain RM200,000 kumpulan berkenaan turut mengambil wang RM4,000 ketika menjalankan serbuan di bangunan berkenaan.

“Bagaimanapun wang RM4,000 yang diambil ketika serbuan sudah dipulangkan kepada mangsa.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis dan bertindak atas maklumat itu, operasi mengesan suspek dijalankan,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor serta empat anggota lain-lain pangkat bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya terbabit kes itu kemudian ditahan, 4 petang hari ini.

“Selain itu, polis kemudian turut menahan seorang anggota trafik dari Balai Polis Trafik Jalan Bandar yang mempunyai hubungan dengan seorang anggota polis IPD Petaling Jaya yang ditahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat susulan tangkapan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 10:32 PM