Rokok seludup yang dirampas di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Beluran. FOTO Ihsan ESSCOM
Rokok seludup yang dirampas di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Beluran. FOTO Ihsan ESSCOM
Hazsyah Abdul Rahman


LIMA lelaki tempatan dicekup bersama rokok seludup bernilai RM455,000 ketika cuba melalui Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) dekat simpang ke Sapi Nangoh, Beluran semalam.

Dalam kejadian 5.45 petang itu, semua lelaki berusia antara 18 hingga 46 tahun diberkas bersama 84,500 bungkus rokok seludup.

Antara rokok yang dirampas termasuk 45,800 bungkus Astro merah; 22,880 bungkus Astro hijau; 1,850 bungkus Astro hitam; 1,200 bungkus rokok Extreme; 4,500 bungkus Era Biru; 3,600 bungkus rokok Absulete (kretek); 2,670 bungkus rokok Apache dan 2,000 bungkus Era Hitam.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali berkata, masing-masing memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) dari arah Kota Kinabalu ke Sandakan.

“Hasil maklumat awam, sebaik mereka tiba di RCP, petugas segera menjalankan pemeriksaan sebelum menemui pelbagai jenis rokok seludup.

“Saya percaya rokok ini diseludup dari Indonesia untuk dipasarkan ke kawasan pantai timur Sabah khususnya di Sandakan berdasarkan kepada modus operandi dan pengakuan kelima-lima suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hazani berkata, semua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

“Turut disita lima kenderaan yang digunakan suspek dan dianggarkan nilai taksiran cukai kastam yang belum dibayar bagi rokok seludup lebih RM650,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 11:56 AM