Nor Akmar Samudin

CADANGAN memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak wajar dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan belum membuat keputusan untuk melaksanakan semula dasar berkenaan.

“Kita tidak ada apa-apa keputusan. PTPTN telah memberikan ruang dan peluang untuk anak melanjutkan pengajian mereka, namun ada segelintir tidak membayar balik.

“Memang ada masalah nak keluarkan pinjaman baru, tetapi tidak wajar untuk melakukan sekatan dan kita mesti mengkajinya semula,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis Salam Iftar Bersama 250 Orang Kurang Upaya (OKU) di Pandan Indah, Ampang, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim.

Baru-baru ini, media melaporkan PTPTN mungkin memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman.

PTPTN dikatakan sedang meneliti beberapa cadangan lain untuk mengutip baki pinjaman pendidikan termasuk menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan kepada Kabinet.

Pada masa sama, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kerajaan akan memastikan dasar satu peratus OKU mengisi jawatan dalam sektor awam dan swasta tercapai.

Katanya, antara langkah mungkin dilaksanakan kerajaan ialah pengecualian cukai kepada majikan.

“Ia dasar lama yang belum dicapai sehingga kini dan kita berusaha untuk mencapainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 1:40 AM
DR Wan Azizah  (tengah) bersama Norhanane Mohd Noor, 42, (kiri) dan Nor Asmah Jamburi, 55, (kanan) pada program ‘Salam Iftar bersama OKU’ anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pandan Indah di Dewan MPAJ Pandan Indah, Ampang, malam tadi. FOTO Zunnur Al Shafiq.
DR Wan Azizah (tengah) bersama Norhanane Mohd Noor, 42, (kiri) dan Nor Asmah Jamburi, 55, (kanan) pada program ‘Salam Iftar bersama OKU’ anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pandan Indah di Dewan MPAJ Pandan Indah, Ampang, malam tadi. FOTO Zunnur Al Shafiq.