SAIFUDDIN menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada penerima sempena Program Ihya Ramadan di Tumpat, hari ini. FOTO Fathil Asri
SAIFUDDIN menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada penerima sempena Program Ihya Ramadan di Tumpat, hari ini. FOTO Fathil Asri
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan barangan keperluan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri ini mencukupi serta terkawal.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bekerjasama untuk memastikan bekalan makanan utama seperti daging, ayam, ikan, sayur-sayuran dan telur cukup bagi tempoh bermula 21 Mei hingga 19 Jun depan.

Katanya, berdasarkan statistik daripada MOA, sebanyak 800 juta telur dan 27 juta kelapa disediakan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri ini.

“Harga barangan juga terkawal dengan pemantauan dari semasa ke semasa termasuk di bazar Ramadan.

“Sebanyak 38,000 premis perniagaan diperiksa oleh 2,300 penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara.

“Menerusi operasi itu, sebanyak 447 notis amaran dikeluarkan kepada peniaga akibat kegagalan meletakkan tanda harga.

“Buat masa ini, harga memang terkawal dan kami belum menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga mendadak. Jika ada aduan, kita akan mengambil tindakan serta merta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada 500 asnaf di Program Ihya Ramadan bersama Komuniti Pengguna Tumpat di Pertubuhan Peladang Kawasan Bakat Baru, Tumpat, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, sebanyak 10 universiti awam terbabit dalam Program Food Bank Siswa Malaysia yang menerima sumbangan makanan daripada 430 pasar raya di negara ini.

Katanya, pihaknya menyasarkan 20,000 mahasiswa dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah akan menerima bantuan itu sehingga hujung tahun ini.

“Pelbagai makanan disediakan seperti Milo, biskut, roti dan buah-buahan. Kepada mahasiswa yang memerlukan makanan, boleh mengambil bekalan itu di tempat yang disediakan di universiti mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 3:36 PM