SEBAHAGIAN rokok seludup yang dirampas dalam serbuan di tepi pantai Cowie Bay, malam tadi. FOTO ihsan ESSCOM
SEBAHAGIAN rokok seludup yang dirampas dalam serbuan di tepi pantai Cowie Bay, malam tadi. FOTO ihsan ESSCOM
Abdul Rahemang Taiming


KAWASAN Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menggagalkan cubaan menyeludup 3,500 bungkus rokok di tepi pantai Cowie Bay, Jalan Tawau Lama, Tawau, malam tadi.

Ia berikutan maklumat yang disalurkan oleh orang awam sebelum sepasukan pegawai dan anggota diketuai Deputi Superintendan Jaffri Othman menjalankan pemeriksaan di lokasi berkenaan pada jam 10.40 malam.

Komander ESSCOM Datuk Hazani Ghazali berkata, lokasi terbabit disyaki digunakan penyeludup untuk menjalankan kegiatan dan aktiviti pemunggahan barang seludup.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi itu, pihaknya mengesan kegiatan menurunkan beberapa bungkusan hitam disyaki rokok seludup dari bot laju di kawasan berkenaan.

“Apabila menyedari kehadiran pasukan keselamatan, juragan bot terbabit bertindak mengundurkan bot lalu memecut melarikan diri ke arah tengah laut dan gagal dikesan.

“Pemeriksaan lanjut di kawasan pemunggahan itu kemudian menemui 14 bungkusan hitam yang di dalamnya mengandungi sejumlah 3,500 bungkus rokok seludup pelbagai jenama yang dipunggah dari bot terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, antara jenama rokok yang dirampas termasuk Djarum Hitam (400 bungkus), Premium Gold (500), Astro Merah (1,000), Premium Hitam (1,000) dan Menara Hitam (600).

“Semua barangan rampasan terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

“Orang ramai dialu-alukan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang mencurigakan atau melanggar undang-undang negara dengan membuat laporan di Pusat Operasi ESSCOM atau hubungi talian 089-863181 untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 1:10 PM