DUA warga asing ditahan bersama petrol cuba diseludup keluar di perairan Tanjung Layak-Layak, Pitas. FOTO Ihsan PPM.
DUA warga asing ditahan bersama petrol cuba diseludup keluar di perairan Tanjung Layak-Layak, Pitas. FOTO Ihsan PPM.
Fardy Bungga


CUBAAN bot pam menyeludup keluar petrol ke negara jiran berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Tanjung Layak-Layak, Pitas, Kudat, hari ini.

Ketika kejadian 11.30 pagi, sepasukan anggota PPM sedang meronda sempena Op Landai Khas untuk memantau aktiviti laut.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, anggotanya memperoleh maklumat Unit Risikan Marin (URM) mengenai kegiatan itu dan pemantauan dibuat sebelum bot berkenaan ditahan.

Katanya, pemeriksaan mendapati bot dinaiki dua lelaki berusia 35 dan 22 tahun dari negara jiran dan tidak mempunyai dokumen pengenalan sah.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui 47 gelen petrol bersubsidi dan juragan bot gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang membenarkan minyak itu dibawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, pihaknya percaya barang kawalan berkenaan cuba diseludup keluar ke negara jiran dan bahan bakar itu bernilai RM2,932.80.

“Kita turut merampas bot pam, dua unit enjin pam, dua ‘shaft’ dan dua ‘propeller’ milik suspek. Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM12,232.80,” katanya.

Menurutnya, suspek dan barang rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kudat untuk siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 3:09 PM