SEBAHAGIAN kedai yang dibuka di Bazaar Raya di Pusat Perniagaan Wawasan di Simpang Renggam. FOTO Adnan Ibrahim
SEBAHAGIAN kedai yang dibuka di Bazaar Raya di Pusat Perniagaan Wawasan di Simpang Renggam. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


PEMINDAHAN operasi Bazaar Raya dari Jalan Besar ke Pusat Perniagaan Wawasan pada tahun ini dilakukan selepas mengambil kira banyak faktor termasuk memberikan fasiliti yang kondusif, bukan hanya kepada peniaga tetapi kepada pengunjung.

Yang Dipertua Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Mohammad Sukry Abd Rahim berkata, pemilihan lokasi ini juga bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, mengelakkan kacau ganggu dan paling utama menjamin keselamatan peniaga dan pengunjung.

Katanya, MDSR tidak berkompromi dalam setiap penganjuran bazar dilaksanakan dan hasrat pemindahan lokasi Bazaar Raya ini sudah pun diputuskan sejak 2016.

“Tempoh perancangan pemindahan bazar itu mengambil masa tiga tahun dan pada tahun ini ia dianggap sebagai waktu yang tepat untuk pelaksanaannya.

“Persetujuan perpindahan ini adalah hasil perbincangan dan akujanji peniaga sendiri, selain ia turut dipersetujui oleh Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu serta pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan dilihat sebagai satu keputusan yang positif,” katanya.

Katanya, malangnya ada pihak yang dipercayai atas kepentingan tertentu cuba menimbulkan kekeruhan selain memberikan pengaruh negatif dalam pelaksanaan penganjuran Bazaar Raya di Pusat Perniagaan Wawasan ini.

“Isu itu kemudian menjadi perhatian masyarakat setempat selepas tular di media sosial,” katanya.

Mohammad Sukry berkata demikian melalui kenyataan media ketika mengulas berkaitan isu pemindahan Bazaar Raya daripada Jalan Besar ke Pusat Perniagaan Wawasan.

Malah tindakan pihak yang tidak mengetahui akan perancangan diaturkan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit cuba mengangkat isu itu mengakibatkan ia hangat diperbincangkan masyarakat di Simpang Renggam sejak awal Ramadan tahun ini.

Menurut Mohd Sukry, mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kacau ganggu, perpecahan dan melakukan tindakan yang berbentuk hasutan diharapkan menghentikan niat terbabit.

“Ini kerana pihak kami tidak berhasrat untuk memanjangkan isu ini memandangkan keputusan perpindahan sudah ditetapkan dengan mengambil kira fakta yang bernas dan alasan yang kukuh.

“Namun jika perkara ini masih berterusan, pihak MDSR tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih tegas demi menjamin hak dan kepentingan sebagai PBT,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di Bazaar Raya di Pusat Perniagaan Wawasan mendapati masih banyak lagi khemah yang belum memulakan perniagaan dan orang ramai yang mengunjungi bazar berkenaan juga berkurangan.

Seorang peniaga yang enggan dikenali berkata, mungkin keadaan masih awal lagi dan kebanyakan mereka yang datang dipercayai hanya membuat tinjauan harga sebelum membuat kira-kira perbelanjaan keluarga masing.

“Memang kadar jualan agak merosot berbanding di Jalan Besar, namun kerana arahan sudah menetapkan di sini, kami terpaksa akur kerana semua barang-barang jualan sudah ditempah lebih awal dan perlu dijual,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 12:00 PM