Zulkifli (tengah) beramah mesra bersama pelajar di Dewan Asrama Semai Bakti FELDA Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim
Zulkifli (tengah) beramah mesra bersama pelajar di Dewan Asrama Semai Bakti FELDA Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


AGENSI Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan memberi tumpuan kepada 3,000 sekolah di 178 kawasan berisiko tinggi dadah.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, ia antara langkah pencegahan jangka panjang bagi mengelak pelajar sekolah terpengaruh dengan gejala tidak sihat itu.

“Saya pernah bercakap sebelum ini dan kita (AADK) sudah mengezonkan 178 kawasan sebagai berisiko tinggi dadah.

“Kami dapati 2,024 sekolah rendah (SR) dan 996 sekolah menengah (SM) dengan jumlah keseluruhan 3,020 sekolah berada di kawasan berisiko tinggi membabitkan dua juta pelajar di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bicara Santai Bersama Ketua Pengarah AADK Malaysia di Asrama Semai Bakti FELDA, Johor Bahru hari ini.

Seramai 150 pelajar asrama menempatkan anak peneroka FELDA terbabit dalam program santai selama dua jam termasuk sesi soal jawab.

Zulkifli berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan pelajar di kawasan berisiko bebas dadah.

“Kita harus bermula awal bagi menanam sikap benci dadah dan mengukuhkan jati diri di peringkat awal.

“Kerjasama bersama Kementerian Pendidikan dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam melaksanakan Program Pendidikan Pencegahan Dadah ( PPDa) akan membantu usaha ini,” katanya.

Menurutnya, AADK memberi perhatian kepada sekolah di kawasan berisiko tinggi dadah termasuk memberikan pendidikan kepada guru khususnya guru kaunseling.

Katanya, ia penting untuk memberi pengetahuan langkah yang perlu dilakukan untuk memastikan murid dan pelajar tidak terjebak.

“Itu antara pendekatan jangka panjang dilaksanakan memandangkan jumlah penagih baru semakin meningkat dan harus ditangani dengan lebih mantap,” katanya.

Menurutnya, antara program dilaksanakan termasuk Program Pintar di SR dan Program Shiled di SM selain Program ‘Tomorrow Leader’.

Sementara itu katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap 41,700 pelajar sekolah tahun lalu mendapati hanya empat peratus positif dadah.

Katanya, pihaknya menerusi aktiviti PPDa akan terus melaksanakan ujian saringan di peringkat sekolah kerana ia menjadi bibit permulaan golongan itu mencuba mengambil dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 8:16 PM