FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
BERNAMA

SEEKOR buaya seberat 500 kilogram akhirnya ditangkap selepas hampir sebulan reptilia itu diburu oleh Jabatan Hidupan Liar (JHL) di Sungai Pang Burung dekat Tawau.

Reptilia ganas berukuran 4.27 meter itu ditemui masuk ke perangkap yang dipasang JHL di kawasan sasaran, 8.30 pagi tadi.

Pegawai JHL Tawau, Sailun Aris berkata, penangkapan buaya terbabit susulan laporan mengenai seorang warga emas maut dipercayai diserang buaya pada 23 April lalu.

“Kita pasang perangkap besi tidak jauh dari mayat mangsa ditemui dan hari ini buaya yang dipercayai menyerang warga emas itu berjaya ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 22 April lalu, seorang warga emas, Zainuddin Bedda, 61, warga Indonesia dilapor dibaham buaya di Sungai Pang Burung sebelum mayatnya ditemui keesokan hari dalam keadaan menyayat hati.

Mangsa, yang juga seorang pesara kilang sawit Pang Burung, dipercayai ke sungai pada 22 April pukul 7 pagi untuk mengambil sayur di tebing sungai kecil Pang Burung.

Bagaimanapun, sehingga 6 petang, mangsa dilaporkan tidak balik ke rumah dan mayat mangsa ditemui pada keesokan hari oleh pasukan Bomba di Sungai Pang Burung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 1:37 PM