NURSYAFANIS (kiri) dan Siti Nor Hasma menerima Biasiswa Wakaf UniSZA. FOTO Ghazali Kori
NURSYAFANIS (kiri) dan Siti Nor Hasma menerima Biasiswa Wakaf UniSZA. FOTO Ghazali Kori
Ahmad Rabiul Zulkifli


“KAMI tidak mampu menatap gambar arwah ibu, bapa dan adik kerana masih merindui mereka apatah lagi pada bulan mulia ini,” kata Nursyafanis Mohd Nahar, 21, seorang daripada empat beradik yang kehilangan ibu, bapa dan adik bongsu dalam kebakaran di Pangkalan Nelayan Sungai Tepa, Langkawi, 1 April lalu.

Dalam kejadian itu, Noor Suhaila Hamat dan Mohd Nahar Suhami serta anak bongsu, Mohd Naufal, 6, ditemui rentung dalam kebakaran rumah yang musnah 70 peratus.

Nursyafanis yang juga penuntut tahun satu Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial dengan Kepujian Fakulti Sains Sosial Gunaan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ditemui pada Majlis Penyerahan Biasiswa Wakaf UniSZA di Pejabat Naib Censelor UniSZA, hari ini.

Nursyafanis berkata, dia bersama tiga adiknya iaitu Nur Syafinas dan Nur Syafina masing-masing berusia 18 tahun serta Nur Syaleha, 11, kini tinggal bersama datuk mereka, Hamat Nor, 71, di Kampung Felda Cuping, Perlis.

“Ramadan yang disambut kali ini berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini. Biasanya, juadah berbuka puasa disediakan arwah ibu tetapi sekarang kami menyediakannya sendiri.

“Walaupun tragedi yang meragut nyawa tiga insan tersayang sudah lebih sebulan berlalu, kami masih tidak mampu melihat gambar mereka.

“Malah, jika ditanya mengenai mereka, kami akan menangis. Tidak mudah kami lupakan semua ini kerana banyak kenangan manis bersama mereka terutama pada Ramadan dan Aidilfitri,” katanya.

Dia berkata, nasi tomato antara juadah hasil tangan arwah ibu yang menjadi kegemaran mereka dan masakan itu dirindui sepanjang Ramadan ini.

“Kami sentiasa menyibukkan diri bagi mengurangkan tekanan kerinduan terhadap mereka dan sebagai anak sulung, saya perlu kuat untuk tiga lagi adik.

“Mujurlah, saya menerima tajaan biasiswa penuh daripada UniSZA melalui Tabung Wakaf UniSZA manakala datuk dan ahli keluarga terdekat pula menjaga kebajikan tiga adik,” katanya.

Seorang lagi penerima biasiswa, Siti Nor Hasma Fauzi, 21, berkata, dia dan lima adik-beradiknya ditanggung abang, Mohd Saiful Arif, 30, selepas kematian ibu bapa mereka akibat penyakit kronik pada 2015.

“Saya bersyukur apabila dipilih sebagai penerima sekali gus dapat meringankan beban abang yang selama ini menanggung kami sekeluarga.

“Melalui elaun sara hidup sebanyak RM600 sebulan, ia mencukupi untuk menampung segala keperluan saya di UniSZA selain memberi semangat kepada saya untuk belajar dan memperoleh keputusan cemerlang,” katanya yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan.

Sementara itu, Naib Cancelor UniSZA Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, dua penuntut itu menerima biasiswa penuh berjumlah RM24,000 setiap seorang membabitkan yuran pengajian, penginapan asrama dan elaun sara hidup bulanan sebanyak RM600.

“Penerima dipilih berdasarkan kriteria mereka yang diyakini sangat memerlukan selain cemerlang dalam akademik iaitu mendapat Purata Nilai gred Kumulatif (CGPA) sekurang-kurangnya 3.00.

“Kami berharap sumbangan yang diberikan ini dapat meringankan beban ahli keluarga mereka dalam menampung segala perbelanjaan mereka sepanjang menuntut di UniSZA,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, terdapat seramai 10 penuntut menerima biasiswa wakaf melalui Tabung Wakaf UniSZA dengan enam daripadanya menerima biasiswa penuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 6:04 PM