Lima rakan termasuk dua remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Seremban atas pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap dua remaja perempuan di sebuah rumah di Kuala Pilah,1 Mei lalu. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
Lima rakan termasuk dua remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Seremban atas pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap dua remaja perempuan di sebuah rumah di Kuala Pilah,1 Mei lalu. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
Raja Noraina Raja Rahim

LIMA rakan termasuk dua remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, atas pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas dua remaja perempuan.

Tertuduh, Ameer Nashraf Arizan, 21, dan Mohd Nordin Yaacob, 22, berdepan dua pertuduhan manakala Muhamad Ariff Jamaludin, 18, dan dua remaja lelaki berusia 17 serta 16 tahun masing-masing satu pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, Ameer Nashraf, Mohd Nordin, Muhamad Arif didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di sebuah rumah di Kuala Pilah antara 11.40 malam pada 30 April hingga 4.15 pagi pada 1 Mei lalu.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Mohd Nordin dan tertuduh berusia 17 tahun turut didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa sama di lokasi sama pada 11 dan 11.20 malam, 30 April lalu.

Bagi kesalahan berkenaan, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh berusia 16 tahun didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun di lokasi sama, pada 11.50 malam, 30 April lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak manakala semua tertuduh diwakili P Jayaprakash.

Hakim Junaidah Mohd Isa membenarkan Mohd Nordin diikat jamin RM14,000 manakala Ameer Nashraf, Muhamad Ariff dan tertuduh berusia 17 tahun (RM7,000) serta tertuduh berusia 16 tahun (RM6,000) dan diarah lapor diri di Balai Polis Kuala Pilah setiap bulan dan tidak mendekati mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Portal Harian Metro pada 2 Mei lalu melaporkan dua pelajar perempuan berusia 15 tahun menempuh detik hitam apabila menjadi mangsa nafsu buas enam lelaki termasuk kenalan sendiri di sebuah rumah di Juasseh, Kuala Pilah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 3:27 PM