MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pertumbuhan Ekonomi Di Sepanjang Jajaran WCE di Pejabat Menteri Besar Perak, Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya
MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pertumbuhan Ekonomi Di Sepanjang Jajaran WCE di Pejabat Menteri Besar Perak, Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya
Balqis Jazimah Zahari


MAJLIS angkat sumpah barisan EXCO Kerajaan negeri Perak untuk tempoh setahun akan datang akan diadakan dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ketika ini beliau sedang menunggu tarikh daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk membawa senarai nama EXCO untuk diperkenankan.

“Sebelum itu saya perlu berbincang bersama pucuk pimpinan parti komponen Pakatan Harapan (PH), selepas itu kita akan mendapat tarikh daripada istana, maka kita akan mengadakan majlis angkat sumpah secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Penyediaan Bubur Lambuk Peringkat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Dataran MBI di Ipoh, hari ini.

Diminta mengulas kemungkinan berlaku pertukaran barisan EXCO kerajaan negeri sedia ada, Ahmad Faizal memaklumkan setakat ini beliau tidak melihat ada keperluan berbuat demikian.

“Saya hanyalah seorang pemimpin yang menurut titah Sultan Perak (Sultan Nazrin Muizzuddin Shah) dan perlu juga mengikut apa kehendak pucuk pimpinan PH.

“Namun, saya akan memberi pandangan kepada pucuk pimpinan dan juga kepada Sultan Perak tetapi akhirnya keputusan itu adalah hak Sultan Perak (untuk membuat keputusan),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata, terdapat taklimat yang dibentangkan pada Majlis EXCO kerajaan negeri mengenai cadangan untuk memperbesarkan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini.

“Ia kedengaran sangat menarik, perkara ini akan dibawa untuk perbincangan lanjut bersama dengan pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan juga Kementerian Pengangkutan Malaysia.

“Kerajaan negeri Perak mengalu-alukan kerjasama daripada pihak swasta untuk pembangunan atau menaiktaraf LTSAS,” katanya.

Berkenaan status projek lapangan terbang di Seri Iskandar sama ada masih diteruskan atau tidak, beliau berkata setakat ini tiada perbincangan berkenaan perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 1:52 PM