ANTARA lokasi terjejas akibat aktiviti pembuangan sampah secara haram. FOTO Ihsan SAM.
ANTARA lokasi terjejas akibat aktiviti pembuangan sampah secara haram. FOTO Ihsan SAM.
Zuhainy Zulkiffli


PEMBUANGAN sisa domestik, pembinaan dan kilang di beberapa kawasan seperti jalan ban (sawah) kini seolah-olah menjadi ‘trend’ oleh pihak tertentu.

Kaedah itu menjadi pilihan kerana menjimatkan kos berbanding menghantar siasa buangan ke tapak pelupusan yang sah.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) SM Mohamed Idris berkata, perkara itu semakin menjadi-jadi berikutan tidak ada tindakan serius daripada pihak berkuasa seperti Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang.

Katanya, tinjauan SAM mendapati pembuangan sampah berkenaan berlaku di beberapa jalan ban sekitar Seberang Perai Selatan (SPS).

Menurutnya, lokasi berkenaan bermula dari Jeti Nelayan Changkat, Nibong Tebal sehingga jalan pintas ke Batu Kawan Industrial Park (BKIP) dan kawasan perindustrian Valdor, Sungai Bakap.

Dia memberitahu masalah berkenaan pernah dibangkitkan SAM pada 2017 namun sehingga kini masih tiada jawapan atau tindakan daripada agensi berkenaan.

“Masalah sampah di jalan ban Sungai Tengah, Changkat, Nibong Tebal sudah lama berlaku namun disebabkan tiada pemantauan pihak tidak bertanggungjawab meneruskan aktiviti mereka.

“Kesempatan itu juga menyebabkan pihak terbabit mengambil jalan mudah dengan menjadikan kawasan berkenaan sebagai tapak pembuangan secara haram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Idris berkata, jika tidak di atasi dengan tegas, berani dan drastik, dikhuatiri pelbagai masalah lain membabitkan isu alam sekitar akan timbul pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 3:04 PM