GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norizuan Shamsuddin


KEMENTERIAN Dalam Negeri tidak mengalami masalah untuk melantik Timbalan Ketua Polis Negara baharu dan beberapa jawatan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi perlu mengikut prosedur untuk mengisi kekosongan bagi jawatan terbabit.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, nama calon bagi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara baharu kini sedang menunggu perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, selain itu, nama calon bagi jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Norkotik dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman sudah diserahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kesemua nama-nama calon jawatan berkenaan akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Selepas dimaklumkan upacara penyerahan tugas dan sebagainya proses pelantikan jawatan berkenaan akan selesai tidak lama lagi.

“Nama-nama calon (jawatan pegawai kanan tinggi PDRM) sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri dan beliau akan mengangkat kepada Yang di-Pertuan Agong dan itu adalah formaliti yang kita buat,” katanya pada sidang media di majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur, hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyaksikan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang bakal bersara wajib, esok, menyerahkan jawatannya kepada Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Mengulas mengenai pelantikan Ketua Polis Negara ke-12 baharu itu, Muhyiddin berkata, Abdul Hamid mampu memikul tanggungjawab diamanahkan dengan sebaiknya.

“Demi kepentingan warga PDRM, saya berharap Abdul Hamid dapat meneruskan kecemerlangan legasi kepimpinan terdahulu dan dapat kekal sebagai sebuah pasukan yang disegani,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 1:55 PM