ANGGOTA penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang melakukan pemeriksaan berkala pawagam di Kuantan. FOTO Ihsan KPDNHEP
ANGGOTA penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang melakukan pemeriksaan berkala pawagam di Kuantan. FOTO Ihsan KPDNHEP
Asrol Awang


INDIVIDU yang didapati membuat rakaman atau merakam secara langsung filem di dalam pawagam seterusnya memuat naik ke media sosial seperti Facebook (FB), Instagram (IG) dan sebagainya akan berdepan tindakan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Mohd Suffian Mohd Abass berkata, pihaknya serius untuk menyekat aktiviti terbabit daripada berlaku.

Katanya, penonton yang didapati melakukan perbuatan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 43A Anti Rakaman Kamera di bawah Akta Hakcipta 1987.

“Mereka yang didapati melakukan kesalahan itu juga boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tempoh lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas operasi penguatkuasaan di pusat beli belah di Kuantan bermula 10.30 pagi semalam dan berakhir 8.30 malam tadi, beliau berkata, tiada kes membabitkan rakaman filem Avengers: Endgame.

Katanya, seramai 13 anggota penguatkuasa KPDNHEP negeri mengadakan pemeriksaan bagi mengesan penonton yang merakam tayangan filem, sama ada menggunakan telefon bimbit atau alat perakam video.

“Operasi ini juga bertujuan untuk mendidik penonton dan membantu industri perfileman negara daripada perbuatan merakam di dalam pawagam.

“KPDNHEP serius dalam menangani kegiatan cetak rompak secara langsung ‘live streaming’ di media sosial seperti di FB, IG, dan sebagainya terutama berhubung isu pelanggaran harta intelek.

“Sepanjang April lalu, sebanyak 14 bilik tayangan diperiksa di dua pawagam di bandar ini dan tiada tangkapan atau perbuatan dikesan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 10:53 AM