Guru di SJKT Ladang 15, Slim River memperagakan seragam sekolah bagi memeriah sambutan Hari Guru hanya ada tujuh murid. FOTO ihsan pembaca.
Guru di SJKT Ladang 15, Slim River memperagakan seragam sekolah bagi memeriah sambutan Hari Guru hanya ada tujuh murid. FOTO ihsan pembaca.
Rosman Shamsudin


HANYA mempunyai tujuh guru dan tujuh murid, namun sambutan Hari Guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang 15, Slim River tetap disambut meriah.

Sekolah Kurang Murid (SKM) itu terletak di kawasan ladang kelapa sawit dahulunya mempunyai ramai murid tetapi selepas berlaku penghijrahan pekerja ladang untuk mencari kehidupan baharu di tempat lain menyebabkan bilangan murid semakin berkurangan.

Kekurangan guru juga bukan penghalang bagi sekolah berkenaan mengadakan sambutan Hari Guru peringkat sekolah pada Isnin lalu bertemakan ‘Alam Persekolahan.”

Guru Besar, K Kalayvanan berkata, tema itu dipilih bagi mengimbau kembali kenangan guru semasa zaman persekolahan yang sudah lama berlalu dan hanya menjadi kenangan terindah dalam kehidupan.

Katanya, apabila memakai pakaian seragam sekolah terasa seolah kembali muda dan teringat kembali suka duka ketika belajar di sekolah rendah.

“Bila semua guru mengenakan pakaian seragam sekolah menjadikan sekolah itu seolah tidak mempunyai guru pada hari sambutan dan ramai murid yang terkejut dan tertanya bila melihat kami memakai pakaian seragam sekolah.

“Sebagai guru besar, sambutan tetap dilaksanakan bagi membalas jasa guru yang banyak berbakti kepada sekolah ini dan sambutan hanya setahun sekali maka wajar di sambut dengan meriah mengikut keadaan sekolah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, bekas murid sekolah berkenaan yang kini menjadi guru dan mengajar di sekolah itu, T Monasangkari, 32, berkata bila memakai seragam sekolah memang dapat mengenangkan kembali ketika dia bersama rakan bersekolah di sekolah terbabit.

“Jasa guru sekolah ini tidak terbalas kerana dengan didikan awal di sekolah menjadikan saya sebagai guru kini dan kadangkala saya terasa seperti bermimpi kerana tidak menjangkakan kembali ke sekolah ini.

“Dahulu murid di sekolah ini ramai dan kini hanya tinggal tujuh orang sahaja, namun walaupun kurang murid tanggungjawab guru tetap sama iaitu memberikan pendidikan sempurna untuk semua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 11:08 AM