BERNAMA

JENAZAH pendakwah terkenal, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Gombak, petang hari ini.

Kira-kira 1,000 orang hadir di tanah perkuburan itu, sebelum jenazahnya dikebumikan pada 6.10 petang.

Jenazah sebelum itu disembahyangkan di Masjid Saidina Hamzah diimamkan oleh anak lelakinya Mohamad Yusri. Talkin dibacakan menantu Allahyarham, Hamdan Abdul Aziz.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail turut berkenan berangkat ke tanah perkuburan itu untuk menziarahi pusara Allahyarham.

Allahyarham Abu Hassan, 73, disahkan meninggal dunia kira-kira 7.30 pagi tadi selepas rebah dan tidak sedarkan diri selepas menunaikan solat subuh di rumahnya di Kampung Batu Muda, Sentul.

Allahyarham yang juga bekas Penasihat Agama Istana Negara, dilahirkan di Perlis dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Derma, Arau, sebelum ke Sekolah Agama Arab Alawiyah dan melanjutkan pelajaran di Mesir.

Allahyarham bertugas di Pusat Islam pada 1976, sebelum berkhidmat di Masjid Negara pada tahun berikutnya sehingga memangku jawatan Imam Besar.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham Abu Hassan.

“Salam takziah buat keluarga dan sahabat handai Ustaz Abu Hassan Din Al-Hafiz. Semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan para syuhada dan solehin,” katanya di laman Twitter.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu pula berkata, “Hiba mendengar berita pemergian permata ummah, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz.

“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz. Al-Fatihah.”

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pula berkata, Malaysia hari ini kehilangan seorang ilmuwan Islam yang disegani.

“Kementerian Pendidikan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan roh beliau dicucuri rahmat,” katanya.

Berita berkaitan

'Negara kehilangan pakar feqah' [METROTV]

Pemergianmu ditangisi...

Rebah selepas solat Subuh

Abu Hassan Din meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 7:31 PM
RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menziarahi pusara Allahyarham Abu Hassan. FOTO NSTP
RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menziarahi pusara Allahyarham Abu Hassan. FOTO NSTP