STANLEY (tengah) memeriksa kamera anti rakaman. FOTO Norsyazwani Nasri.
STANLEY (tengah) memeriksa kamera anti rakaman. FOTO Norsyazwani Nasri.
Norsyazwani Nasri


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah berbincang dengan sembilan pengusaha panggung wayang di Sarawak bagi memasang kamera anti rakaman di pawagam masing-masing.

Pengarah KPDNHEP Sarawak Datuk Stanley Tan berkata, usaha itu dilakukan bagi memudahkan pemeriksaan kerana ada penonton memuat naik rakaman secara langsung ke media sosial selain untuk penghasilan bahan cetak rompak.

“Kita tidak mahu perakam terlepas kerana perbuatan itu boleh membunuh industri wayang di negara ini.

“Pihak KPDNHEP tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka didapati merakam filem ditayang di pawagam di seluruh negeri ini,” katanya selepas pemeriksaan di panggung wayang MBO, Kuching, semalam.

Beliau berkata, pihaknya akan terus mengadakan pemeriksaan mengejut di semua panggung wayang seluruh Sarawak bagi mengesan penonton yang merakam tayangan filem menggunakan telefon bimbit atau perakam video.

“Penonton melakukan perbuatan itu akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 43A (Antirakaman Kamera) Akta Hakcipta 1987.

“Mereka boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tempoh lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 1:23 PM