FOTO hiasan.
FOTO hiasan.
Zatul Iffah Zolkiply


GURU wanita dari Kuala Terengganu, kerugian hampir RM400,000 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan ‘Macau Scam’.

Mangsa berusia 50 tahun hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan jam 12.30 tengah hari semalam, selepas semakan dilakukan mendapati simpanan dalam akaun miliknya berbaki RM100 saja.

Menurut sumber, kejadian dipercayai bermula pada 18 Mac lalu selepas guru berkenaan menerima panggilan daripada lelaki tidak dikenali memaklumkan dia ada membuat pinjaman sebanyak RM50,000 daripada sebuah bank.

Katanya, mangsa menafikan dakwaan itu, namun dia panik apabila dimaklumkan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.

“Lelaki berkenaan kemudian menyambungkan panggilan kepada seorang lagi individu lain menyamar sebagai pegawai polis.

“Cemas selepas dimaklumkan dia terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram mangsa kemudian memindahkan semua simpanannya ke satu akaun baru dibuka seperti diarahkan suspek.

“Menyedari dirinya ditipu mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 5:14 PM