CALON Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P. 186 Sandakan, Vivian Wong Shir Yee bertemu penyokong sebelum ke pusat penamaan calon di Dewan Aktiviti SMJK Tiong Hua. FOTO Khairull Azry Bidin
CALON Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P. 186 Sandakan, Vivian Wong Shir Yee bertemu penyokong sebelum ke pusat penamaan calon di Dewan Aktiviti SMJK Tiong Hua. FOTO Khairull Azry Bidin
Avila Geraldine


CALON DAP, Vivian Wong Shir Yee tiba di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua, di Sandakan diiringi pemimpin beberapa parti gabungan kerajaan bagi memfailkan kertas penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Anak bongsu bekas Ahli Parlimen Sandakan, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt itu tiba pada 9.10 pagi, calon terakhir tiba di pusat penamaan calon itu daripada lima calon termasuk tiga Bebas yang hadir menghantar pencalonan masing-masing.

Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng adalah antara pemimpin yang hadir memberikan sokongan kepada Shir Yee.

Pemimpin lain yang turut hadir ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.

Shir Yee diiringi dua kakaknya masuk ke dewan penamaan calon yang mana empat calon lain sudah menunggu menyerahkan kertas pencalonan masing-masing.

Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin yang dinamakan parti itu untuk menentang DAP pada PRK ini kelihatan mendekati Shir Yee sejurus masuk dalam dewan dan bersalaman sebelum menyapa tiga calon lain yang bertanding tiket Bebas.

Calon Bebas, Sulaiman Abdul Samat adalah yang pertama memfailkan kertas penamaan calon ketika dewan pusat penamaan calon itu yang dibuka pada 9 pagi tadi.

Sulaiman yang memakai songkok adalah bekas Pembantu Tadbir di Pusat Khidmat Parlimen Sandakan.

Selepas beliau, calon kedua yang memfailkan kertas pencalonan ialah Thau Lin, diikuti dua lagi calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah, Hamzah Abdullah dan bekas eksekutif syarikat kelapa sawit, Chia Siew Yung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 11:18 AM