ANTARA individu yang diberi amaran oleh anggota KPDNHEP akibat merekod filem Avengers: Endgame dalam pawagam.
ANTARA individu yang diberi amaran oleh anggota KPDNHEP akibat merekod filem Avengers: Endgame dalam pawagam.
Hidayatul Akmal Ahmad


LAPAN individu diberi amaran keras oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akibat cubaan merekod filem Avengers: Endgame dalam pawagam.

Dalam operasi penguatkuasaan di pusat beli belah di Kuala Lumpur, 21 dewan tayangan diperiksa.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDNHEP, Azeem Nazuri berkata, lapan individu itu ditahan ketika merakam video / mengambil gambar menggunakan telefon pintar di dalam panggung wayang ketika filem itu ditayangkan.

“Mereka yang ditahan diarahkan supaya memadamkan semua fail yang dirakam dengan kadar segera

“Penerangan sewajarnya dan amaran tegas telah diberikan kepada mereka supaya mematuhi dan memahami undang-undang yang dikuatkuasakan oleh pihak KPDNHEP.Tiada tindakan kes diambil,” katanya.

Katanya, melindungi hak harta intelek adalah salah satu dari teras penguatkuasaan yang dilaksanakan KPDNHEP.

“Ini adalah penting dalam memastikan pemilik harta intelek dilindungi dan menjadi salah satu usaha kementerian dalam menarik pelaburan asing,” katanya.

Dalam penguatkuasan itu, 11 orang pegawai turut serta dalam operasi yang bermula 6 petang hingga 12 malam.

“Pihak kementerian bekerjasama dengan pihak pawagam dalam memberi peringatan berhemah kepada orang awam supaya tidak membuat rakaman di dalam pawagam sama ada untuk tujuan persendirian atau komersial.

“Ia juga sebagai peringatan kepada pengguna supaya tidak sewenangnya membuat rakaman, atau secara langsung dalam media sosial seperti Facebook, Instagram dan sebagainya,” katanya.

Mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan penalti di bawah Seksyen 43A Akta Hak Cipta 1987 yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Padah rakam Avengers: Endgame

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 6:50 PM