GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Azam Shah Yaacob


JENAYAH keganasan rumah tangga di negara ini mencatatkan penurunan apabila 5,421 kes keganasan rumah tangga dilaporkan tahun lalu berbanding 5,513 kes pada 2017.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, jumlah mangsa membabitkan wanita turut menurun daripada 4,026 kes pada 2017 kepada 3,947 kes pada 2018.

Bagaimanapun, beliau berkata, berlaku sedikit peningkatan membabitkan kes penderaan kanak-kanak iaitu daripada 429 kes pada 2017 kepada 456 kes tahun lalu.

“Kuala Lumpur menjadi negeri kedua tertinggi dengan jumlah kes 62 kes tahun lalu berbanding 56 kes yang dicatatkan 2017,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Seminar Hentikan Keganasan Kanak-Kanak di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim, Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL Datuk Ibrahim Yusoff dan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Kuala Lumpur Bok Siew Mun.

Abdul Hamid berkata, penurunan terhadap kes keganasan rumah tangga itu susulan peningkatan kesedaran di kalangan orang ramai.

Namun beliau tidak menolak kemungkinan penurunan kes disebabkan faktor kes tidak dilaporkan kerana malu, dihalang berbuat demikian atau kurangnya hak pengetahuan untuk mendapat perlindungan.

“Bagi memastikan isu keganasan itu dapat ditangani dan mangsa mendapat pembelaan sewajarnya, peranan masyarakat sebagai penyalur maklumat kepada pihak berkuasa dialu-alukan.

“Malah bagi memberi pendedahan kepada masyarakat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menjalinkan kerjasama dengan pengendali Facebook serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) selain program bersama agensi kerajaan seperti DBKL, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO),” katanya.

Menurut Abdul Hamid, menerusi kerjasama dengan Facebook, PDRM sudah menubuhkan sistem National Urgent Response (NUR) Alert yang bertindak terhadap kes kehilangan kanak-kanak.

Katanya, menerusi KPWKM pula, PDRM menubuhkan Talian Kasih 15999 bagi membantu mangsa atau pihak ketiga terhadap sebarang kes keganasan rumah tangga.

“Malah dengan kerjasama NGO serta agensi kerajaan lain, PDRM turut menjalankan pelbagai kempen kesedaran serta pencegahan jenayah kepada orang ramai serta kumpulan sasaran.

“Harapan saya inisiatif dilaksanakan ini dapat menyampaikan mesej termasuk kepada mangsa keganasan bahawa mereka tidak keseorangan dan pelbagai pihak sentiasa memberi sokongan serta bantuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 10:40 PM