ANGGOTA APM menangkap ular tedung selar yang menyorok di bahagian enjin kereta Naza Citra di Kampung Padang Empang, Kupang, Baling, hari ini. FOTO ihsan APM.
ANGGOTA APM menangkap ular tedung selar yang menyorok di bahagian enjin kereta Naza Citra di Kampung Padang Empang, Kupang, Baling, hari ini. FOTO ihsan APM.
Safuri Kamarudin


“SAYA terkejut mendengar bunyi bising apabila jiran menjerit memberitahu ular masuk ke dalam rumahnya sebelum melihat apa yang berlaku,” kata Abu Hassan Samah, dari Kampung Padang Empang, Kupang, Baling, hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, Abu Hassan, 59, terus menghubungi pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling memaklumkan kehadiran seekor ular tedung selar yang memasuki rumah jirannya.

Menurutnya, ketika itu, dia sedang berehat menunggu untuk makan tengah hari sebelum terdengar bunyi bising mengatakan ular masuk ke dalam rumah.

“Selepas jiran cuba menghalau ular itu, ia masuk dan menyorok di bahagian enjin kereta Naza Citra yang terletak di tepi rumah.

“Mujurlah ular itu masuk pada waktu siang dan jiran saya ternampak, kalau waktu malam dan dia tidak perasan, mungkin sesuatu yang buruk boleh berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pengawai APM Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, ular tedung selar sepanjang dua meter dan berat lima kilogram itu menyorok di dalam enjin kereta selepas penduduk menghalau keluar dari rumah.

“Selepas menerima aduan daripada penduduk pada 12.10 tengah hari, lima anggota bergegas ke lokasi dan mengambil masa 20 minit untuk menangkap ular yang menyorok di bahagian enjin kereta.

“Ular itu dipercayai mengejar haiwan lain dan tersesat masuk ke rumah penduduk dengan keadaan cuaca panas ketika ini,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai yang terserempak dengan ular berbisa segera menghubungi APM di talian 04-4701626 atau kecemasan 999.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 4:51 PM