Pulau Perhentian. FOTO Mohamad Ishak
Pulau Perhentian. FOTO Mohamad Ishak
Baharom Bakar


KERAJAAN negeri tidak akan bertanggungjawab ke atas kemalangan pengunjung terutama pelancong ketika mendaki atau menuruni bukit untuk melihat kincir angin di Pulau Perhentian, Besut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, bukit yang menempatkan kincir angin di kawasan Long Beach di pulau peranginan itu bukanlah kawasan pelancongan.

Beliau berkata, bukit yang menempatkan sistem hibrid tenaga gabungan empat kuasa dibangunkan kerajaan negeri untuk menghasilkan tenaga elektrik dari kuasa angin itu, adalah kawasan larangan.

“Walaupun kerajaan ada menyediakan tangga untuk ke puncak bukit yang menempatkan dua menara kincir angin, kemudahan itu disediakan untuk pegawai dan kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan pemantauan selain melakukan penyelenggaraan jika berlaku kerosakan.

“Saya dimaklumkan kerajaan sudah meletakkan papan tanda larangan dan memasang pagar bagi menghalang pengunjung dan pelancong menaiki bukit kincir angin, tetapi ditanggalkan mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika mengulas mengenai kemusnahan laluan ke puncak bukit termasuk kerosakan jeti sejak tujuh tahun lalu.

Projek pembinaan kincir angin membabitkan peruntukan RM12.6 juta itu dibangunkan di atas tanah seluas kira-kira dua hektar di sebelah utara Pulau Perhentian Kecil, ketika era Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, pada 2006 dan dirasmikan pada September 2007.

Kos projek itu dibiayai bersama kerajaan negeri, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi melalui dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) dan TNB.

Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Alor Limbat berkata, pemandangan menarik di puncak bukit yang menempatkan kincir angin menyebabkan lokasi itu menjadi tumpuan pengunjung termasuk pelancong dari dalam dan luar negara menceroboh ke lokasi berkenaan.

Katanya, lokasi itu adalah kawasan larangan dan kerajaan negeri tidak akan bertanggungjawab jika berlaku kemalangan ke atas pengunjung ketika mendaki atau menuruni bukit berkenaan.

“Kerajaan negeri dimaklumkan pengusaha bot pelancong di pulau peranginan itu juga memberi kerjasama apabila menasihatkan pengunjung termasuk pelancong tidak ke lokasi berkenaan bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 11:24 AM