PESERTA Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge 2019 memulakan larian.
PESERTA Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge 2019 memulakan larian.
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


WALAUPUN baru dua tahun menceburi sukan daki menara namun ia bukan halangan kepada seorang pemuda bergelar juara Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge 2019, semalam.

Wai Ching, 25, dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan bagi kategori terbuka lelaki dan masa terbaik lelaki membolehkan dia membawa pulang wang tunai dan pingat.

Menurutnya, sukan daki menara masih belum mendapat perhatian yang begitu meluas kerana hanya Menara Kuala Lumpur yang menawarkan acara sedemikian setiap tahun di negara ini.

Beliau yang berada pada kedudukan nombor satu pelari menara di Asia Tenggara dan kelima di peringkat dunia berharap sukan ini akan terus mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat negara ini.

“Sukan ini sesuatu yang masih banyak boleh diterokai dan menjadi ia acara wajib untuk disertai sejak dua tahun lalu kerana ini platform terbaik untuk menguji kekuatan fizikal dan mental menakluk menara.

MENARA Kuala Lumpur tawar acara mendaki menara setiap tahun.
MENARA Kuala Lumpur tawar acara mendaki menara setiap tahun.

“Tahun ini impian untuk menakluk Menara Kuala Lumpur sebagai juara tercapai dan berhasrat untuk menakluki lebih banyak menara di seluruh dunia,” kata graduan Ijazah Sains Sukan Universiti Malaya (UM) itu ketika ditemui di Menara Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Hadiah disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Saripuddin Kasim diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Datuk Rozlan Mohamad.

Program edisi ke-18 tahun ini mendapat sambutan menggalakkan bukan saja peserta tempatan malah luar negara antaranya dari Kenya, New Zealand dan Jepun bagi menguji kemampuan mendaki 2,058 anak tangga pada ketinggian 228 meter dari paras laut.

WAI Ching menunjukkan  trofi dan replika cek selepas dinobatkan juara keseluruhan mendaki menara.
WAI Ching menunjukkan trofi dan replika cek selepas dinobatkan juara keseluruhan mendaki menara.

Sementara itu, Rozlan berkata, selaku juara keseluruhan, Wai Ching akan mewakili Malaysia ke World Tower Running 2020 yang kos keseluruhan ditaja Menara Kuala Lumpur.

Katanya, sambutan yang begitu menggalakkan diterima Menara Kuala Lumpur setiap tahun dan program ini menjadi antara tarikan pelancong dalam dan luar negara ke Kuala Lumpur.

“Acara lasak ini bertepatan dengan aspirasi Menara Kuala Lumpur yang mahu dikenali sebagai destinasi wajib dilawati pelancong kerana menawarkan kebudayaan, aktiviti lasak dan alam semula jadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 7:30 AM