BOMBA menggunakan helikopter untuk membawa mangsa turun. FOTO ihsan bomba
BOMBA menggunakan helikopter untuk membawa mangsa turun. FOTO ihsan bomba
Balqis Jazimah Zahari


PENDAKI parah di kepala selepas dipercayai terjatuh pada ketinggian enam meter ketika mendaki Gunung Korbu, Hulu Kinta, Ipoh, hari ini.

Difahamkan, mangsa Lee Khian Seng, 60, mengikuti ekspedisi pendakian bersama 12 pendaki lain.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Mohd Khairul Jamil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 10.29 pagi memaklumkan kejadian sebelum sepasukan anggota bergegas ke kaki gunung.

“Daripada maklumat diterima, seorang mangsa terjatuh dari ketinggian enam meter ketika melakukan pendakian dan parah di kepala sebelum pengsan.

“Difahamkan, seramai 12 pendaki lain turut mengikuti ekspedisi itu bersama tiga pemandu arah,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Khairul berkata, sebaik tiba di kaki gunung anggota bomba dimaklumkan perjalanan untuk sampai ke lokasi kejadian mengambil masa 12 jam.

Katanya, pihaknya kemudian meminta bantuan helikopter bomba untuk membantu operasi menyelamat namun ia terpaksa ditangguhkan disebabkan cuaca kurang baik.

“Sehingga jam 5.30 petang ini, operasi menyelamat masih dijalankan dan mangsa masih belum dibawa turun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 6:14 PM