ANTARA remaja ditahan kerana menunggang secara berbahaya. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA remaja ditahan kerana menunggang secara berbahaya. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


EMPAT remaja lelaki termasuk baru berusia 15 tahun yang ligat berlumba dan melakukan aksi berbahaya di jalan raya mengundang padah apabila ditahan dalam dua serbuan berasingan di Jalan Gunung Keriang berhampiran Muzium Padi, Alor Setar, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, dalam serbuan pertama jam 6 petang, anggota polis yang menjalankan operasi menyedari sebuah motosikal jenis Honda EX-5 dinaiki dua remaja lelaki berusia 15 tahun bersama pembonceng ditunggang secara berbahaya dan melakukan ‘wheelie’.

Menurut Mohd Rozi, mereka melakukan perbuatan itu sebanyak tujuh kali sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.

“Polis kemudian menahan mereka sebaik berhenti di simpang masuk ke Muzium Padi termasuk menyita motosikal berkenaan.

“Sementara itu kira-kira setengah jam kemudian, dua motosikal Yamaha 125 ditunggang dua remaja lelaki berusia 17 dan 18 tahun dilihat turut menunggang secara berbahaya dan melakukan aksi ‘zig-zag’,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harian Metro, hari ini.

Mohd Rozi berkata, malah mereka turut melakukan perbuatan itu beberapa kali sebelum berjaya ditahan ketika berhenti di persimpangan masuk ke kolam renang berhampiran muzium.

“Motosikal mereka turut disita dan dibawa ke Balai Polis Trafik Kota Setar untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 3:41 PM