DATUK Salahuddin Ayub, dan Timbalannya, Sim Tze Tzin (kiri), melakukan lelongan buah nenas di ruang pameran sempena Hari Bertemu Pelanggan MoA Peringkat Lembah Klang di FAMA, Bandar Baru Selayang. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
DATUK Salahuddin Ayub, dan Timbalannya, Sim Tze Tzin (kiri), melakukan lelongan buah nenas di ruang pameran sempena Hari Bertemu Pelanggan MoA Peringkat Lembah Klang di FAMA, Bandar Baru Selayang. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mohamad Hussin


WARGA Felda boleh menarik nafas lega selepas kerajaan memperuntukkan RM1 bilion dalam melaksanakan projek tanaman kontan jangka pendek sebagai alternatif membantu meningkatkan pendapatan peneroka dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, persetujuan itu dicapai hasil kerjasama kementeriannya dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam usaha memulihkan kewangan agensi itu.

Beliau berkata, kerjasama itu hasil perbincangan dalam Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) yang diadakan malam tadi.

“Melalui mesyuarat MPFN, saya berbincang dengan menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk melaksanakan pendekatan baru bagi memulihkan semula FELDA dengan memperkenalkan konsep tanaman kontan jangka pendek bernilai RM1 bilion.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM250 juta akan dimulakan tahun ini dan dilaksanakan di tanah bersesuaian milik FELDA di seluruh negara.

“Bagi tujuan pelaksanaan projek ini, Ketua Setiausaha (KSU) daripada dua kementerian berkenaan akan mengadakan perbincangan lanjut untuk memastikan agenda ini berjaya, sekali gus berjaya mencapai misi membantu FELDA,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis Hari Bertemu Pelanggan (HBP) kementerian peringkat Lembah Klang di ibu pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Bandar Baru Selayang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri MOA Sim Tze Tzin, Pengerusi FAMA Ishak Ismail dan Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak.

Salahuddin berkata, MOA akan menyediakan kepakaran melalui FAMA dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam membantu menjayakan projek tanaman berkenaan.

Sementara itu, katanya, beliau menyarankan semua jabatan dan agensi di bawah MOA supaya mengadakan Hari Bertemu Pelanggan (HBP) di peringkat negeri dan daerah pada setiap Rabu.

“Program berkenaan bertemakan ‘Pemasaran dan Keusahawanan’ akan diadakan pada setiap Rabu di peringkat FAMA sementara di peringkat kementerian pula akan diadakan sebulan sekali secara berpusat.

“HBP juga akan diadakan di setiap pejabat jabatan dan agensi MOA peringkat negeri serta daerah seluruh negara bagi memastikan setiap pelanggan mempunyai kesempatan dan peluang mendapatkan perkhidmatan disediakan,” katanya.

Menurutnya, sehingga Februari lalu, FAMA berjaya menjana nilai jualan sejumlah RM386 juta melalui 3,137 outlet pemasaran membabitkan 71,740 usahawan tani terkumpul di bawah bimbingan FAMA.

“Kita merancang menjalinkan kerjasama pintar dengan pusat beli-belah dalam talian termasuk Lazada bagi meningkatkan nilai jualan Agro Bazaar Online dalam memenuhi permintaan kehendak ekonomi digital di negara ini.

“Sehingga kini, Agro Bazaar Online mencatat nilai jualan sebanyak RM4.5 juta membabitkan 4,840 pemasar berdaftar dan 20,000 unit simpanan stok (SKU) dan ia harus dipertingkatkan untuk memastikan ‘kedai dalam talian’ itu tidak ketinggalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 5:38 PM