FOTO Arkib NSTP
FOTO Arkib NSTP
Norsyazwani Nasri


SARAWAK mencatatkan kehadiran 300,000 pelancong sepanjang suku pertama tahun ini, sekali gus memperlihatkan keberkesanan inisiatif Tahun Melawat Sarawak 2019 (TMS2019).

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perangkaan itu jelas menunjukkan peningkatan 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Ia cukup ketara selepas kita melancarkan kempen TMS2019 pada Sambutan Di Ambang Tahun Baharu 2019 pada 31 Disember lalu.

“Sarawak mencatatkan jumlah kunjungan pelancong tertinggi pada Januari lalu, dengan 60 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sidang Media Pesta Menuai dan Budaya Rakyat Sarawak (SHFF) 2019, di Kuching, hari ini

MENTERI Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Suka,n Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (tiga dari kiri) bersama tetamu lain menunjukkan poster Pesta Menuai dan Budaya Rakyat Sarawak (SHFF) 2019 selepas sidang media di Kuching. FOTO Norsyazwani Nasri
MENTERI Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Suka,n Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (tiga dari kiri) bersama tetamu lain menunjukkan poster Pesta Menuai dan Budaya Rakyat Sarawak (SHFF) 2019 selepas sidang media di Kuching. FOTO Norsyazwani Nasri

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Hii Chang Kee; Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Edwin Abit danPengurus Besar Kampung Budaya Sarawak (SCV), Jane Lian Labang.

Beliau ketika mengulas lanjut berkata, peningkatan ketara pelancong ke Sarawak dikenalpasti disumbangkan penganjuran pelbagai acara besar.

“Penganjuran SHFF yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 April ini antara acara besar. Justeru, pelancong mahu melihat keunikan budaya masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

“SHFF yang dianjurkan oleh SEDC dan SCB adalah permulaan kepada perayaan Gawai Dayak yang meraikan tamatnya pesta menuai, sekali gus merayakan kepelbagaian kumpulan etnik di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, antara acara kemuncak SHFF ialah Pertandingan Akhir Miss Festival Cultural Harvest 2019 dan Bengkel Sape 2019.

“Harga tiket masuk dijual pada RM60 untuk dewasa dan RM30 untuk kanak-kanak. Tiket boleh dibeli di SCV atau melalui pembelian dalam talian di laman web SHFF,” katanya.

Sarawak juga menjadi tuan rumah Anugerah dan Filem Festival Antarabangsa ASEAN 2019 (AIFFA2019) yang akan berlangsung dari 25 hingga 27 April ini.

Ia acara menarik lebih 100 penyertaan dari negara ASEAN dan ramai selebriti terkenal antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 1:10 PM