FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Muhamaad Razis Ismail


PADAH menawarkan rasuah RM1,000 kepada polis, seorang pemilik pusat karaoke dipenjara tiga bulan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.

Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Ooi Boon Lai, 41, mengaku salah terhadap tuduhan dikenakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menawarkan rasuah RM1,000 kepada Ketua Balai Polis Rantau Panjang, Asisten Superintendan Mohd Sany Husin sebagai dorongan membebaskan seorang warga Thailand, Jukkrapan Sansungwan bersama 36 karton minuman keras.

Kesalahan dilakukan di Bilik Ketua Polis Rantau Panjang di Pasir Mas jam 2.30 pagi hingga 5 pagi, pada 14 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, pada 1.30 pagi, pengadu bersama empat anggota ke sebuah rumah di Kampung Kubang Rambutan, Rantau Panjang, sebelum menahan seorang lelaki Thailand bersama 36 karton arak.

Tertuduh kemudian datang ke balai polis sebanyak dua kali dan menghubungi pengadu meminta rakannya dan barang rampasan dilepaskan.

Selepas itu, tertuduh sekali lagi menghubungi pengadu dan membuat permintaan sama sebelum pengadu membenarkan pengadu masuk ke dalam bilik.

Ketika berada di dalam bilik, tertuduh beberapa kali membuat tawaran supaya melepaskan rakannya dan barang rampasan biar pun beberapa kali diberi amaran.

Tertuduh kemudian mengeluarkan wang RM1,000 dan meletakkan di atas meja sebelum pengadu meminta anggotanya menangkap tertuduh.

Terdahulu, peguam Nik Mohamad Amin Nik Abdullah yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Adha Amir Yasser Amri memohon hukuman berat terhadap tertuduh dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.

Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 1:30 PM