PASAR Taiping.
PASAR Taiping.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


TAIPING: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM9 juta untuk menaik taraf Pasar Taiping yang juga menjadi pasar tertua di negara ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, KPKT bersetuju meluluskan peruntukan itu untuk menaik taraf dua bangunan Pasar Taiping iaitu pasar basah dan pasar kering bagi memberikan lebih keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.

Menurutnya, pasar yang wujud sejak 1880 itu akan dinaik taraf dengan mempunyai 212 lot perniagaan dan kerja itu dimulakan tahun hadapan sebelum dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun.

“Pasar ini akan dinaik taraf dan dimodenkan dengan kemudahan yang lebih selesa untuk peniaga dan pengunjung namun reka bentuk warisannya dari struktur kayu akan dikekalkan bagi memberi lebih nilai sejarah selain menarik pelancong.

“Pembinaan pasar ini akan dibuat secara berperingkat dan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun, peruntukan permulaan RM1 juta sudah diluluskan bagi pengekalan reka bentuk warisan sedia ada,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke pasar itu, semalam.

Zuraida berkata, KPKT tertarik dengan usaha Majlis Perbandaran Taiping (MPT) yang berjaya mengekalkan peniaga tulin iaitu peniaga lama dan ia tidak seperti kebanyakan pasar di ibu kota.

“Apabila ditanya kadar sewa, majoritinya memaklumkan kadar sewa yang ditetapkan adalah RM80 dan kebanyakan peniaga sudah lama berniaga di sini.

“Peniaga di sini juga tidak mempunyai masalah sekiranya harga sewa tapak di pasar ini dinaikkan selepas ia dinaik taraf nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 6:30 AM