PELAJAR  SMK Bandar Utama Damansara 4   menanam pokok sempena kempen  Go Green with Pallas.
PELAJAR SMK Bandar Utama Damansara 4 menanam pokok sempena kempen Go Green with Pallas.
Nurul Husna Mahmud


SEMPENA Hari Bumi diraikan setiap 22 April saban tahun, Pallas terus aktif menjalankan kempen Go Green with Pallas menerusi sumbangan 76 pokok hiasan bagi menceriakan persekitaran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama Damansara 4, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Program berkenaan masuk tahun kelima dan sekolah berkenaan yang ke 13 terpilih menerima manfaat dan dijayakan bersama lima sukarelawan Pallas serta lebih 30 warga sekolah.

Tujuannya memberi pendedahan kepentingan alam sekitar dan tanggungjawab memelihara ekosistem kepada generasi muda selain mewujudkan persekitaran hijau di sekolah.

Pembangunan Jenama Pallas, Jo Yee berkata, walaupun sumbangan itu usaha kecil dalam menekankan pentingnya menjaga alam sekitar, impak diterima termasuk sokongan pihak sekolah dan perubahan tingkah laku murid menyebabkan Pallas giat meneruskan kempen terbabit.

“Setelah lima tahun dengan sumbangan hampir RM40,000, kami dapati projek ini mampu menanam minat pelajar terhadap aktiviti penjagaan alam sekitar.

“Kami membekalkan pokok hiasan termasuk pelbagai herba dan buah mengikut keperluan. Kami anjurkan di sekolah sebagai penghargaan kepada pelanggan daripada kumpulan sasaran itu,” katanya.

 MASLINDA  (kanan)  dan   Jo Yee melakukan gimik kempen  di tapak projek Go Green with Pallas.
MASLINDA (kanan) dan Jo Yee melakukan gimik kempen di tapak projek Go Green with Pallas.

Guru Penolong Kanan Pentadbirannya, Maslinda Sabtu berkata, usaha Pallas bagi melestarikan alam sekitar memberi manfaat kepada generasi muda pada peringkat lebih awal.

“Usaha syarikat korporat seperti Pallas ini membudayakan amalan penanaman pokok dan penjagaan alam sekitar dalam kalangan pelajar sebagai usaha positif dan perlu disokong.

“Aktiviti menanam pokok jarang dinikmati pelajar bandar. Kami melihat pelajar yang menyertainya ceria dan teruja. Semoga usaha pihak berkenaan menjadi contoh kepada organisasi lain,” katanya.

Sementara itu, pelajar, Mohd Ilham Iskandar berkata, amalan gotong-royong menanam pokok membantu mengeratkan hubungan bersama rakan.

“Berbanding menanam pokok di rumah, apabila ia dilakukan bersama rakan di sekolah ia lebih menyeronokkan. Malah, bagi rakan yang tidak pernah ‘main tanah’, mereka tidak berasa kerja menanam pokok itu suatu sukar dan kotor.

“Aktiviti ini lebih baik daripada layan gajet. Saya juga dapat rehatkan minda selain dapat menyumbang sesuatu kepada pihak sekolah,” katanya.

Projek Go Green with Pallas dijalankan di beberapa sekolah sekitar Lembah Klang, Johor serta Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 6:20 AM