Mohd Husni Mohd Noor


ISU kesesakan dihadapi setiap hari di pintu masuk Malaysia -Singapura di Tambak Johor dan Lebuh Raya Link Kedua menjadi keutamaan untuk ditangani.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini kerana isu berkenaan menjadi masalah utama bagi pengguna yang menyeberang antara kedua-dua negara setiap hari.

“Pada masa ini kira-kira 250,000 hingga 300,000 orang menyeberang tambak setiap hari.

“(Jadi) Mengatasi kesesakan adalah keutamaan bagi Malaysia,” katanya pada sidang media bersama rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia - Singapura Ke-9 di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Lee berkata, Singapura mempunyai perancangan bagi memperluas Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) negara itu dalam usaha mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.

“Dr Mahathir menegaskan projek Sistem Transit Rapid (RTS) (menghubungkan jajaran Bukit Chagar, Johor ke Woodlands, Singapura) tidak akan menyelesaikan masalah bagi penunggang motosikal melintasi sempadan Singapura-Malaysia.

“Oleh itu terdapat keperluan untuk memperluas CIQ di kedua-dua belah pihak.

“Singapura mempunyai rancangan untuk memperluas CIQ kami di kedua-dua arah dan perkara ini akan mengambil sedikit masa tetapi akhirnya kami akan membuat pelan penting untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Mengulas isu pertikaian sempadan dan ruang udara, Lee berkata, isu berkenaan boleh menjejaskan hubungan dua hala jangka panjang jika tidak ditangani dengan baik.

Beliau turut mencadangkan Malaysia menambah dua lagi landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam usaha meningkatkan sektor pelancongan di kedua-dua negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 5:36 PM