SERAMAI 26 warga asing termasuk 10 wanita tukang urut ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor. FOTO Ihsan Imigresen.
SERAMAI 26 warga asing termasuk 10 wanita tukang urut ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor. FOTO Ihsan Imigresen.
Mohd Azam Shah Yaacob


SEPULUH wanita warganegara asing terbabit dalam kegiatan tidak bermoral antara 26 individu ditahan dalam Op Bersepadu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor sekitar Sunway dan Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, 10 wanita warga asing itu ditahan dalam serbuan di pusat urut sekitar Kota Damansara.

Katanya, 10 wanita warga asing itu membabitkan masing-masing empat berasal dari Vietnam dan Indonesia serta dua warganegara Myanmar.

“Hasil pemeriksaan dijalankan mendapati semua wanita berkenaan masuk ke negara ini secara sah menggunakan pas lawatan sosial.

“Mereka menyalahgunakan pas itu dengan bekerja sebagai tukang urut dan dipercayai turut menawarkan pakej urutan berahi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Shukri berkata, seramai 16 lelaki warganegara asing membabitkan lapan dari India, Myanmar (empat), Bangladesh (tiga) dan seorang Nepal turut ditahan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sembilan bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan dalam operasi di Sunway yang mensasarkan pondok pengawal keselamatan dan sekitarnya.

“Sembilan lelaki warga asing bekerja sebagai pengawal keselamatan itu ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk menyalahgunakan permit kerja diberi selain tinggal melebihi tempoh dibenarkan,” katanya.

Menurut Mohamad Shukri, individu berusia antara 20 tahun hingga 45 tahun ditahan di Depot Imigresen Semenyih.

Dia memberitahu warganegara asing berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas/permit yang sah.

“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta sama kerana permit tamat tempoh selain Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 5:33 PM