AHLI Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Azman Musa menyerahkan cek FPM kepada Suhaida sambil diperhatikan Suhara (kiri). FOTO Adnan Ibrahim.
AHLI Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Azman Musa menyerahkan cek FPM kepada Suhaida sambil diperhatikan Suhara (kiri). FOTO Adnan Ibrahim.
Adnan Ibrahim


“WANG inilah modal masa depan mereka,” kata Suhaida Ahmad, 37, ibu kepada tiga cahaya mata sebaik menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di kediamannya di Kampung Tambak, Peserai, Kluang, semalam.

Kesedihan ibu tunggal ini sedikit terubat selepas pegawai PERKESO mengunjungi teratak dihuni bersama tiga anaknya Nurzaharah Alisa Zulkifkli,5, Nor Soleha Natasha, 4, dan Muhamad Aidil Zakuan, 2.

Arwah suaminya Allahyarham Zulkifli Musa, 37, bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang ditemui meninggal dunia di sebuah rumah di Bandar Baru Putra Indah di Tongkang Pechah, 27 Mac lalu.

“Selepas suami meninggal dunia, saya terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ibu dan ayah.

“Saya juga hilang punca pendapatan kerana selama ini suami yang menjadi tempat bergantung hidup selepas mendirikan rumah tangga,” katanya.

Katanya, dia berasa sebak setiap kali tiga anak kecilnya bertanyakan mengenai arwah bapa mereka.

“Selepas ini, saya bercadang untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan, dapatlah juga wang untuk menyara anak.

“Saya berterima kasih kepada PERKESO kerana membantu kami dengan menyerahkan penyerahan faedah caruman suami.

“Semua wang faedah caruman ini akan digunakan sebaik-baiknya untuk anak-anak sehingga mereka dewasa khususnya untuk kebajikan dan pendidikan mereka ,” katanya.

Sementara itu Pengurus Pejabat PERKESO Batu Pahat, Suhara Mustafa berkata, hasil semakan mendapati Allahyarham Zulkifli adalah orang berinsurans (OB).

“Berikutan itu waris layak menerima FPM sebanyak RM2,000 dan pencen penakat secara bulanan.

“Pencen penakat dibayar bermula bulan ini dengan anak-anak arwah mendapat manfaat sehingga berusia 21 tahun atau selepas tamat pengajian ijazah pertama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 3:28 PM