NADZIM Johan
NADZIM Johan
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Izlaily Nurul Ain Hussein


UPAH 50 pekerja yang diberi tugas khusus menjawab panggilan dan menerima tempahan pembelian gula-gula seks dari pelanggan seluruh Malaysia.

Itu antara kegiatan sindiket penjualan produk rangsangan seks haram yang dikesan beroperasi di Johor Bahru dan mampu mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit sebulan.

Difahamkan setiap biji gula-gula rangsangan seks itu dijual pada harga sekitar RM10 hingga RM20 sebiji.

Kegiatan itu bagaimanapun dibongkar pegawai Cawangan Penguatkuasa Farmasi (CPF) Johor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyerbu markas sindiket itu Selasa lalu.

Hasil serbuan dilakukan di markas sindiket itu, hampir 100,000 biji gula-gula seks dirampas dengan anggaran nilai RM1.1 juta.

Sumber berkata, sepasukan sembilan pegawai CPF Johor menjejaki sebelum membongkar stor rahsia sindiket itu di Johor Bahru.

“Berdasarkan siasatan, sindiket itu menggunakan alamat palsu di Kuala Lumpur namun beroperasi di Johor Bahru.

“Terdapat 50 pekerja di pejabat yang beroperasi sebagai pusat panggilan atau call centre bagi menerima panggilan tempatan,” katanya.

Menurutnya, sindiket kemudian akan menghantar bungkusan produk berisi gula-gula itu kepada pelanggan mengguna alamat hantaran yang pelbagai.

“Hasil serbuan itu, CPF merampas pelbagai jenama gula-gula seks antaranya jenama Soloco, Candy B+, Vimax, Double Coconut, Catuaba dan Hickel.

“Ini rampasan terbesar gula-gula rangsangan seks haram dengan jumlah keseluruhan melebihi 83,000 biji. Rampasan turut membabitkan 11 ubat tidak berdaftar dan enam kosmetik tidak bernotifikasi,” katanya.

Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham bin Abdullah mengeluarkan peringatan meminta orang ramai tidak memakan gula-gula perangsang seks haram jenama Candy B+ Complex.

Beliau memaklumkan menerima aduan daripada orang awam berkenaan penjualan produk tidak berdaftar itu secara dalam talian melalui laman sesawang http://www.11street.my.

Produk diiklankan di dalam laman sesawang itu perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) memandangkan hasil analisis menunjukkan produk tersebut mengandungi racun berjadual iaitu Tadalafil.

“Individu yang menjual produk itu boleh disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952 yang jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama bagi individu.

GULA -GULA seks haram yang dirampas pegawai CPF Johor di  stor rahsia sindiket   di Johor Bahru.
GULA -GULA seks haram yang dirampas pegawai CPF Johor di stor rahsia sindiket di Johor Bahru.

“Denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya. Bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Beliau berkata, kementerian memberi amaran tegas kepada sesiapa yang mempunyai stok produk ini supaya menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta merta kerana penggunaan produk ini boleh membawa kepada kemudaratan terhadap kesihatan tubuh badan.

Tadalafil adalah ubat terkawal yang digunakan untuk merawat pesakit yang mengalami masalah gangguan seksual seperti mati pucuk atau nama lainnya impotens/Erectile Dysfunction (ED).

Penggunaan ubat ini memerlukan pengawasan teliti daripada pengamal perubatan berdaftar dan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh orang awam.

KKM menasihati orang ramai supaya berwaspada sebelum membeli sebarang produk kesihatan dan kosmetik yang dijual secara dalam talian serta memastikan produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran adalah berdaftar atau bernotifikasi.

Orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari www.npra.moh.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.

Selain itu, orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi menyemak status pendaftaran produk tersebut.

Orang ramai termasuk pihak media digalakkan mengemukakan laporan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam.

Laporan dan maklumat tersebut boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my. atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 7:00 AM