IDRIS (kanan) dan barisan kepimpinan PAS kawasan Marang menyanyikan lagu rasmi parti pada majlis perasmian. FOTO Baharom Bakar
IDRIS (kanan) dan barisan kepimpinan PAS kawasan Marang menyanyikan lagu rasmi parti pada majlis perasmian. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar

PAS pusat akan bermesyuarat Isnin ini sebelum membuat keputusan berhubung cadangan PAS Sabah supaya parti itu meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, 11 Mei depan.

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, PAS pusat akan memperhalusi hasrat parti di Sabah meletakkan calon bertanding di kerusi Parlimen Sandakan itu.

Beliau berkata, Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling sudah diminta membentangkan laporan untuk diperhalusi pimpinan tertinggi parti pada mesyuarat yang akan dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Hadi Awang.

“Kita menerima baik cadangan PAS Sabah untuk meletakkan calon bertanding pada PRK Parlimen Sandakan dan akan memperhalusi pembentangan dilakukan Mohd Aminuddin pada mesyuarat itu nanti,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS kawasan Marang, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua PAS kawasan Marang, Yahaya Ali dan Ketua Penerangan PAS negeri, Mohd Nor Hamzah.

PRK Parlimen Sandakan diadakan berikutan kematian penyandangnya, mendiang Datuk Wong Tien Fatt @ Wong Nyuk Foh pada 28 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mei depan sebagai tarikh pengundian dan 7 Mei ditetapkan sebagai tarikh penamaan calon.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Wong Tien dari DAP menang dengan majoriti 10,098 apabila memperoleh undi sebanyak 19,094 menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Lim Ming Hoo yang memperoleh undi sebanyak 8,996.

Mohd Aminuddin sebelum ini dilaporkan berkata, cadangan untuk meletakkan calon bertanding diputuskan pada satu mesyuarat PAS Sabah di Kota Kinabalu, Isnin lalu.

Idris berkata, jika PAS pusat bersetuju untuk meletakkan calon, perbincangan dengan pengerusi UMNO Sabah, Datuk Sri Bung Moktar akan diadakan terutama mengelakkan pertembungan tiga penjuru.

“Kita juga akan meminta kerjasama UMNO Sabah terutama UMNO Sandakan untuk membantu gerak kerja PRK Parlimen Sandakan sekiranya PAS memutuskan bertanding kerusi itu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Sandakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 5:51 PM