FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Shahrinnahar Latib


SEORANG lelaki yang juga pemandu Grab rugi RM80,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa akan ditahan kerana terbabit dalam kegiatan judi ‘online’.

Mangsa berusia 40 tahun menetap di bandar Bera, dikatakan membuat 17 kali pindahan wang ke akaun diberikan suspek, kononnya bagi tujuan audit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menerima panggilan daripada suspek akhir bulan lalu yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan Telekom Malaysia (TM).

“Suspek memberitahu talian telefon rumah mangsa akan ditamatkan perkhidmatan dalam tempoh dua jam kerana namanya didaftarkan di Kuala Lumpur dan terbabit dengan jenayah judi online.

“Mangsa meminta suspek menyelesaikan masalah itu dan suspek kemudiannya menyambung panggilan kepada seorang lagi ‘kakitangan’ TM.

“Panggilan kemudian dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan mangsa bercakap dengan ‘Koperal Mohd Azmi’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, Koperal Mohd Azmi memaklumkan waran tangkap sudah dikeluarkan dan meminta mangsa memindahkan sejumlah wang ke akaun diberikan bagi tujuan audit.

Katanya, mangsa yang terpedaya dengan taktik digunakan sindiket itu kemudiannya melakukan 17 kali pemindahan wang, menjadikan jumlah keseluruhan RM80,000.

“Suspek bagaimanapun masih menghubungi mangsa dan meminta wang mengakibatkan lelaki itu berasa curiga serta menceritakan perkara itu kepada isterinya.

“Mangsa dan isterinya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera semalam untuk membuat laporan mengenai kejadian itu dan kita menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 11:48 AM